Oct 23, 2024 - FASHari ini, Selangor FC bakal melengkapkan pusingan pertama saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25 Kumpulan H, bertemu Jeonbuk Hyundai Motors FC pada jam 8 malam ini (waktu tempatan), di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Malaysia.
Selangor FC telah diundi dalam Kumpulan H bersama tiga kelab daripada tiga negara yang berbeza, Muangthong United F.C. (Thailand), Jeonbuk Hyundai Motors (Republik Korea) dan Dynamic Herb Cebu FC (Filipina) bagi mengharungi Kumpulan H ACLTwo.
Setakat ini, Jeonbuk Hyundai Motors mendahului Kumpulan H dengan enam mata penuh, diikuti Selangor FC di tempat kedua dengan empat mata, kemudian Muangthong United F.C. dengan satu mata dan Cebu F.C. di tempat keempat.
Menurut Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Selangor FC, yakin bahawa pemain yang akan diturunkan mampu berikan saingan kepada Jeonbuk Hyundai Motors FC dalam perlawanan penentuan kedudukan teratas Kumpulan H bagi pusingan pertama ini.
"Saya yakin sebagai satu pasukan, kami tidak sabar untuk menentang salah satu gergasi besar di Korea ini. Sudah tentu, kami sedar bahawa mereka telah menjaringkan 10 gol dalam dua perlawanan dalam ACLTwo 2024/25 tetapi kami juga telah menjaringkan 39 gol dalam liga, saya tidak mengatakan bahawa kami bagus, tetapi saya percaya kami boleh memberikan saingan yang tinggi untuk mereka dalam perlawanan petang ini.
“Walaupun kita kehilangan kedua-dua kapten pasukan; Safuwan Baharudin dan penolong kapten; Noor Al-Rawabdeh, serta beberapa pemain yang mungkin tidak menyertai kami kerana kecederaan tetapi saya rasa keadaan seperti ini agak normal dalam dunia bola sepak, setiap kelab menghadapi situasi ini pada beberapa ketika. Bagi saya, pemain lain sedang menunggu peluang ini untuk mendapatkan lebih banyak minit untuk bermain dan saya percaya mereka akan memberikan persembahan terbaik mereka sebagai pemain Gergasi Merah,” jelas Nidzam dalam sidang media.
Bagi keberadaan pemain, Mukhairi Ajmal masih menjalani sesi pemulihan, Safuwan Baharudin juga tidak dapat diturunkan atas faktor kecederaan dan Noor Al-Rawabdeh yang telah disahkan mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) pada dua hari yang lalu.
Pihak pengurusan Selangor FC yakin pasukan akan berikan saingan yang tinggi kepada pasukan Jeonbuk Hyundai Motors FC pada petang ini dengan sokongan daripada penyokong yang akan hadir. Ayuh, Gergasi Merah Ku!
Demi Kebanggaan!